Pages

Sunday 30 December 2012

Perjalanan

Sepanjang perjalanan dalam gayong di UMP , banyak peristiwa, ragam, kenalan, dan kenagan indah dapat dikumpulkan disini. Apa pon kat sini aku cuma nak berkongsi cerita aku sepanjang di UMP.

Mula bergayong sebenarnya tahun 2006 di Kelantan, di Akademi Latihan Gayong, Kok Lanas, bawah selian dan tunjuk ajar Cikgu Amru. Dari bertapak sehingga kenal pencak sedikit demi sedikit mempelajari ilmu permainan Silat Seni Gayong. Sampai la masa penghujungnya di mana aku lulus peringkat bengkung merah rendah .




Bersama Guru dan Barisan rakan seperjuangan


Logo Akademi Latihan Gayong, ALG


Bergambar bersama -  sama rakan di ALG


2007 tamatnya pengajian aku di Politeknik Kok Lanas, aku pulang ke kampung halaman mencari pengalaman dan peluang kerja. Tiada yang tetap dan lekat semuanya kerja sambilan saja, tapi berbaloi juga. Ada guga mencari guru atau gelanggang berdekatan, tetapi masa tu pergerakan terhad sikit biasa la muda remaja lagi hehehhehe...Dipendekkan cerita aku dapat tawaran masuk Universiti Malaysia Pahang, UMP.

2008 mula masuk UMP, jadi benda pertama yang aku cari adalah silat terutamanya gayong la. Agak lewat juga pertemuan aku dengan gelanggang kat sini. Lepas tiga minggu aku diketemukan dengan seorang sahabat bernama Aiman yang juga jurulatih dalam gelanggang tersebut dan orang yang bertanggung jawap bagi no fon Aiman adalah Eddy. Dari situ aku mula kenal keluarga silat dalam UMP . Nak sebut nama banyak sangat. tapi terima kasih kepada semua yang pernah mengenaliku disini. 

2009 & 2010 semakin rancak penglibatan aku kat UMP dari satu demo ke demo lain aku sertai.
Banyak benda yang aku dapat belajar dari sorang guru kepada sorang guru aku menuntut ilmu, mula - mula dengan Aiman sendiri, lepas tu Ihsan , Juwe dan Haziq sebab kalau dari segi ilmu dan pengalaman diorang ni lebih senior dari aku. Cikgu Farizal mula diperkenalkan dan mengajar kami di gelanggang, Cikgu Anuar dan Cikgu Bajan datang sekali sekala dan peluang menimba ilmu tidak dilepaskan. Dengan kata sepakat aku dan baberapa rakan lain, kami pergi ke rumah Cikgu rahim sendiri atas dasar menuntut ilmu dan mengeratkan silaturahim. Maka bertambah la sedikit sebanyak ilmu pelajaran dalam Gayong.



Ihsan, Haziq & Aku


2011 & 2012 langkah semakin panjang dimana ilmu terus diterokai mencari guru sekitar pahang, maka bertemulah aku dengan Cikgu Ariffin di kuantan berborak bercerita serta pelajaran tambahan. Yang pastinya beliau lah mengajar silibus Kombat kepada aku selain Ihsan. Dalam masa aku masih mencari - cari pengalaman dalam gayong, hadir seorang guru yang pernah ku temui dahulu semasa di Kelantan. Cikgu Shaiful Hakim datang di bumi UMP bagaikan satu jodoh pertemuan yang mana janji untuk bertemu kembali semasa bertemu dahulu di ALG kini terzahir depan mata. Sehari demi sehari ilmu dituntut walaupun adakalanya yang dihajati belum tercapai tetapi kekosongan dalam perjalanan menimbal ilmu terisi dan aku akan terus mengisinya dari semasa ke semasa. Selama aku di UMP aku hanya berkongsi , belajar dan mengajar ilmu namun mungkin rezeki aku untuk meningkatkan tahap pelajaran diri belum di tahap yang sebenar maka aku terus di peringkat tali pinggang yang sama selama lima tahun.

Dalam hati kecil ini ingin juga untuk gredding tapi apa yang harus aku perlajari untuk di naikkan taraf seterusnya. Dengan itu Cikgu Shaiful Hakim la guru yang bertanggaung jawap memberi peluang dan kepercayaan kepada aku untuk gredding dan dengan itu Julai 2012 menjadi detik bersejarah kepada ku dimana aku telah diuji untuk kelayakan bengkung Pelangi Kuning dan mungkin menjadaikan ia lebih istimewa sedikit aku diuji bersama - sama pelajar Cikgu Hakim dari Perancis. Jika di tanya dah tentu la bangga juga sebab masa gredding bergandingan bermain lebing dengan Stephen dan juga Haziq dan Ihsan yang mana muka - muka ni la banyak menabur bakti di bumi UMP.

Nak tambah lagi ceritanya, aku juga diberi kepercayaan dan amanah dimana aku di beri sandang Khalifah, kira berat juga tanggungjawab dan amanah yang aku bakal pikul tapi aku akan usahakan sebaik mungkin.

Dalam perjalanan aku kat atas tu ada satu benda yang aku nak kongsi dan bercerita kiranya macam bocor rahsia la pulak. Bagi yang tahu tu xpe la saja nak buat gempak sikit sebab benda ini sangat istimewa dalam hidup aku. Dalam UMP & gelanggang kat sini la aku jumpa buah hati intan payung sweet - sweet aku... (korang kata aku poyo ke apa ke ada aku peduli, ni blog aku suka hati aku la). Nama dia Suhana Bt Sufian hahaha... macam mana aku kenal dan jatuh hati tu biarla rahsia tapi yang pastinya aku sayang dia heheheh ( dengki la tu). Sepanjang perjalanan aku dalam mencari ilmu kat sini dia sentiasa ada bersama, berkongsi kenangan dan masalah.


Malam pendekar di payung putih gambang

Penyampaian sandang pada bulan Julai


Majlis mandi tapak seni yang terbaru



Disini juga aku mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada guru - guru, rakan dan keluarga Naga Rantau yang telah mengajar aku ilmu dan pengalaman yang terlalu banyak untuk diungkapkan. Terima kasih semua... sedikit tatapan kenangan bersama....


Juwe, Ari, Esan dan Aku


Aku, Naim, Anen, Zul ( tunggal + wajib )


bersama anak didik & rakan sebilik serumah


aku esan dan haziq


haziq, aku, sue dan cikun


Pehimpunan sedunia PSSGM di Seremban


Majlis penyampaian sandang


lepas demo 


AGM


Dinner naga rantau & france


majlis mandi adat


lepas mandi minyak


jemputan demo di singaore


Wednesday 19 December 2012


Dato' Meor Abdul Rahman dari Kaca Mata Cikgu Izahar(Pak Ngah Batu Kurau) - Murid Awal Gayong di Gelanggang Air Kuning, Taiping
Cikgu Izahar atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Ngah merupakan seorang lagi ahli lama Gayong yang belajar secara langsung daripada Mahaguru Dato'Meor Abdul Rahman di gelanggang Taiping(Pusat Latihan Tertinggi Silat Seni Gayong Malaysia dan Serantau).
Cikgu Izahar mula memasuki Gayong sewaktu beliau berusia 13 tahun iaitu pada bulan Ogos 1957 di gelanggang Pantai Besar, Batu Kurau, Perak. Guru yang memperlimau tapak dan mengajar beliau pada ketika itu ialah Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman sendiri. Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman datang mengajar menaiki kereta Jaguar dari Singapura. Bersama-sama beliau dalam rombongan dari Singapura tersebut ialah isteri pertama Mahaguru, Datin Kalsom, anakandanya(Siti Aisyah) serta beberapa orang guru Gayong lain.
Turut bersama-sama Cikgu Izahar belajar Gayong di Pantai Besar ialah 14 orang rakan-rakan beliau. Pada ketika itu latihan dijalankan pada waktu malam dengan bertemankan suluhan lampu gasolin. Menurut Cikgu Izahar, pada waktu beliau mula-mula mempelajari Gayong dahulu, jalan raya dari Batu Kurau ke Pantai Besar ketika itu masih lagi jalan tanah merah. Jalannya pun agak sempit; hanya boleh dilalui oleh sebuah kenderaan(kereta) pada satu-satu masa.
Menurut Cikgu Izahar lagi, pada ketika itu(tahun 1950-an), dugaan untuk mengembangkan Gayong cukup kuat. Pantang ada gelanggang baru dibuka, pasti ada guru-guru silat lain yang mencabar.
Setelah berlatih selama kira-kira 3-4 tahun dan jalan raya ke Taiping dari Batu Kurau ketika itu telah elok, Cikgu Izahar telah berpindah ke gelanggang Taiping, iaitu di kawasan halaman rumah Mahaguru. Beliau berbasikal dari rumahnya di Pantai Besar ke Air Kuning, di Taiping. Perjalanan ke Taiping mengambil masa selama tiga setengah jam. Beliau bertolak dari rumahnya di Batu Kurau pada petang hari Jumaat. Latihan akan dimulakan bermula daripada hari Jumaat malam Sabtu, sepanjang hari Sabtu dan Ahad, dan akan tamat pada malam hari Ahad(malam Isnin). Menurut Cikgu Izahar, jika latihan tamat jam 12.00 tengah malam, beliau biasanya akan sampai di rumahnya di Pantai Besar sekitar jam 3 pagi. Dengan pembukaan gelanggang di Taiping, maka masuklah murid-murid Gayong seperti Sidek, Majid, Yaakob, Ahmad Ismail dan lain-lain lagi.Bersama-sama beliau belajar Gayong di Taiping ialah 20 orang rakan-rakan sepelatihnya, termasuklah Cikgu Ahmad bin Lazim. Latihan di Taiping menggunakan lampu gasolin untuk menerangi kegelapan malam.
Menurut Cikgu Izahar, Mahaguru ketika menurunkan pelajaran Gayong bukan seperti murid Gayong mempelajari Gayong pada hari ini. Setelah upacara buka gelanggang dan melakukan senaman pemanasan badan, latihan jimnastik akan dijalankan. Seterusnya latihan jurus. Kemudian murid-murid akan berpasang dengan pasangan masing-masing. Ketika inilah baru Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman akan turun ke gelanggang untuk mengajar. Beliau akan menunjukkan pelajaran, misalnya buah tangkapan kunci mati. Selepas beliau selesai menunjukkan cara-cara bagaimana untuk menangkap dan mengunci lawan, Mahaguru akan mengarahkan murid-muridnya secara berpasangan untuk berlatih buah kuncian tersebut. Sementara murid-muridnya berlatih memahirkan diri dengan teknik kuncian tersebut, Mahaguru akan kembali masuk ke dalam rumah untuk beristirahat dan membuat kerja-kerja lain. Setelah kira-kira sejam atau dua jam kemudian, Mahaguru akan keluar ke gelanggang untuk melihat kemajuan murid-murid beliau. Beliau akan memastikan sama ada murid-murid beliau dapat melakukan sebagaimana arahan beliau. Jika ada yang tidak kena pada pandangan beliau, beliau akan menyuruh murid-murid beliau berlatih lagi sehinggalah betul-betul mahir. Jika beliau cukup berpuas hati dengan pencapaian murid-murid beliau, barulah beliau akan menurunkan pelajaran yang lain pula, misalnya beralih ke kunci mati yang berikut. Pelajaran Pecahan Tapak Gayong pun begitu juga. Selepas Mahaguru menunjukkan beberapa teknik membuka kuncian lawan, beliau akan masuk ke dalam rumahnya, dan seperti biasa beliau akan keluar selepas 1-2 jam kemudian untuk melihat kemajuan murid-murid beliau.
"Kalau Dato' yang mengajar, ketika buka gelanggang, Dato' masih di dalam rumah. Murid-murid akan buat senaman sendiri, buat pergerakan sendiri. Nak menambahkan pelajaran barulah Dato' turun tunjukkan. Dato' tidak sepanjang masa bersama murid di gelanggang. Kadang-kadang sudah berlatih, kita rehat. Masuk ke dalam rumah. Biasanya apabila waktu rehat, murid Gayong digalakkan mewiridkan Qulhuwallah. Murid-murid akan duduk berehat sambil tenangkan fikiran. Pukul 3.00 pagi, Dato' kata"Gayong, bangun!" Semua kena bangun."Pergi ambil senjata dan main!" Dato' akan tunjukkan pelajaran yang baru. Dato' bangun-bangun dari tidur terus ajar. Saya tak pasti sama ada Dato' dapat ilham atau tidak."
"Cara Dato' ajar - Dato' suruh seorang masuk serang. Kemudian Dato' tunjukkan cara. Lepas itu murid-murid akan buat beramai-ramai. Mahaguru biasanya tunjuk dua kali. Mula-mula murid dengan Dato'. Laju. Lepas itu Dato' tengok murid buat dengan pasangannya. Dato' kemudian masuk ke dalam rumah. Kemudian keluar, tengok. Lihat sama ada sama atau tidak dengan apa yang Dato' bagi. Jika tidak sama, Dato' akan suruh buat semula."
"Dato' apabila dia kilas, dia kilas betul-betul. Walaupun nafas dah tahan habis, dah tarik dalam-dalam, tetapi air mata akan keluar, termasuklah air hidung. Dato' tangkap, tangkap habis. Sampai tak bergerak langsung. Kata Dato', buat sampai habis. Jika musuh bergerak, kunci semakin ketat(masuk). Musuh diam, kita diam. Sampai musuh tidak bergerak langsung."
Menurut Cikgu Izahar, sewaktu mengajar, Mahaguru akan menunjukkan sebanyak dua kali sahaja. Yang pertama, biasanya agak keras dan deras. Kali kedua barulah ditunjuk gerakannya secara satu persatu. Tangkapan Mahaguru adalah berseni dan jika beliau membuat sesuatu tangkapan, lawan langsung tidak boleh bergerak. Mahaguru ketika itu cukup dikenali di Perak. Beliau dikenali sebagai Man Sendo atau Man Rimau, sehinggakan Silat Seni Gayong ketika itu lebih dikenali sebagai silat Meor Rahman daripada nama asalnya.
Sepanjang beliau belajar dengan Mahaguru, beliau sempat menyaksikan sendiri beberapa kehebatan Mahaguru. Pernah suatu ketika sebuah lori balak telah terbalik berdekatan rumah Mahaguru. Tawkey Cina pemilik lori balak tersebut telah menawarkan hadiah $100 kepada sesiapa yang dapat membangunkan lori balak dan meletakkan semula kayu-kayu balak yang telah bertaburan ke atas lori semula. Pada kira-kira jam lapan malam, Mahaguru telah menolak naik lori balak tersebut ke jalan raya serta mengangkat semula balak yang bertaburan ke atas lori balak tersebut, sebelum balak-balak tersebut dirantai.
Selain daripada peristiwa ini, pernah suatu ketika seorang pakar beladiri berkulit putih dan berasal dari Kanada telah datang ke Taiping untuk mencuba kebolehan Mahaguru. Peristiwa ini berlaku ketika Cikgu Izahar telah 10 tahun belajar Gayong di Taiping. Mahaguru telah mengeluarkan sebatang paku sepanjang 5 inci dan beliau seterusnya meminta orang kulit putih tersebut membengkokkan paku tersebut sebelum bertarung dengan beliau. Setelah tidak berjaya membengkokkan paku berkenaan, ahli bela diri kulit putih tersebut telah menyerahkan kembali paku tersebut kepada Mahaguru. Mahaguru kemudian membengkokkan paku tersebut, dan kemudian menyuruh ahli bela diri tersebut meluruskan paku tersebut kembali. Menurut Cikgu Izahar, peluh mencurah-curah keluar daripada ahli bela diri tersebut sehingga tempat duduknya basah digenangi air peluh dalam usahanya untuk meluruskan paku bengkok berkenaan. Setelah gagal meluruskan paku tersebut, ahli bela diri kulit putih tersebut telah memulangkan paku tersebut kepada Mahaguru. Mahaguru telah meluruskan semula paku tersebut dan menyerahkan paku tersebut sebagai tanda kenang-kenangan kepada ahli bela diri kulit putih tersebut. Ahli beladiri tersebut telah membatalkan niatnya untuk mencabar Mahaguru. Akhirnya, ahli bela diri kulit putih tersebut telah memohon untuk mempelajari Gayong serta menganut agama Islam sebagai syarat untuk mempelajari Silat Seni Gayong.
Cikgu Izahar juga sempat bertemu dengan seorang pemuda Arab yang mempunyai susuk tubuh yang besar, yang datang ke Taiping untuk meminta izin Mahaguru mempelajari Gayong, iaitu selepas ahli Gayong membuat demonstrasi menarik kereta dengan gigi. Pemuda Arab tersebut(Mohammad Moncef) telah berkahwin dengan murid Gayong yang mengajarnya(Normah), lalu pulang ke negara asalnya di Kuwait. Apabila beliau kembali semula ke Malaysia tidak berapa lama kemudian, beliau telah membawa bersama-sama beliau satu beg berisi duit untuk diberikan kepada Mahaguru. Menurut Moncef, beliau kini mempunyai 70,000 orang murid di Kuwait dan negara-negara Arab yang lain. Khabarnya, isteri Moncef yang berbangsa Melayu tersebut turut mengajar Gayong di Kuwait.
Dari segi peribadi Mahaguru, menurut Cikgu Izahar, dahulu anak-anak murid Gayong tidak boleh berada dekat dengan Mahaguru. Bila ada perkara penting sahaja baru berjumpa Mahaguru. Mahaguru ini, menurut Cikgu Izahar, hendak dikatakan garang pun tidak, pemarah pun tidak, pendiam pun tidak. Tetapi jika tidak kena angin beliau, misalnya jika murid mengingkari suruhan/arahan beliau, katakan mengingkari arahan beliau supaya turun berlatih silat, sedangkan murid tersebut masih bermain-main di gelanggang, beliau akan menjadi bengis. Beliau akan memarahi anak-anak murid beliau sehingga anak-anak murid menjadi kecut perut.
"Dia marah lebih daripada mak bapak kita lagi. Dia tak kira anak siapa, janji anak Gayong."kata Cikgu Izahar, mengenang saat beliau berguru dengan Mahaguru.
"Dia tak pukul. Dia tengking cukup. Semua dah lari."
Semasa di Taiping dulu, Cikgu Izahar pernah melihat cara Mahaguru menghukum anak-anak muridnya yang ingkar. Pernah suatu ketika, sekumpulan murid-murid tua Gayong masih terus berlatih walaupun waktu maghrib telah masuk. Mahaguru telah memerintahkan supaya latihan silat ditamatkan sebagai menghormati waktu maghrib. Oleh kerana arahan beliau tidak berapa dihiraukan, maka, Mahaguru telah memanggil murid-murid beliau yang masih terus berlatih dan mengarahkan mereka supaya memanjat sebatang pokok manggis yang terdapat di tepi gelanggang. Murid-murid tersebut telah diarahkan membuat terjunan secara menjunamkan kepala dahulu ke tanah. Kerana tidak tahan dengan bentuk "torture" yang dikenakan, ada segelintir murid-muridnya ini telah melarikan diri dari gelanggang, pulang ke kampung halaman masing-masing. Walau bagaimanapun, rajuk mereka tidak berpanjangan. Anak-anak murid tua ini tetap datang ke Taiping menimba pelajaran selepas daripada peristiwa tersebut.
Menurut Cikgu Izahar lagi, pada masa dahulu, Mahaguru melepaskan kemarahan beliau dengan cara menumbuk pokok-pokok manggis yang terdapat di sekitar rumahnya. Pokok-pokok tersebut khabarnya tidak dapat tumbuh subur dan akhirnya mati kekeringan disebabkan daun dan pucuk selalu berguguran ke tanah.
"Dato' ni dia nak marah, dia hentam pokok, sehingga gugur daun." ujar Cikgu Izahar.
Menurut Cikgu Izahar, Mahaguru tidak perturunkan semua pelajarannya dengan sama rata kepada anak-anak muridnya. Hanya orang-orang yang rapat dengannya sahaja yang dapat lebih pelajaran. Misalnya, orang yang menjadi tukang picit beliau. Menurut Cikgu Izahar lagi, di Perak ini, murid pertama yang mandi Gayong di Malaysia, Pak Hamid yang berasal dari Pantai Besar, dikatakan banyak mendapat pelajaran kebatinan daripada Mahaguru. Pak Hamid sangat rapat dengan Mahaguru, sehingga dikatakan Mahaguru dan Pak Hamid ini pernah tidur sebantal dan mempunyai hubungan erat ibarat abang dengan adik, untuk menggambarkan betapa rapatnya Pak Hamid dengan Mahaguru. Pak Hamid sekarang berusia lebih kurang 70 tahun tetapi memiliki tubuh yang masih tegap.
Dari segi penurunan mata pelajaran, menurut Cikgu Izahar, sewaktu beliau mula mempelajari Gayong dahulu(1957), pelajaran senjata memang telah sedia diajar. Tiap-tiap pasangan, katakan tiga pasang akan diajar pelajaran senjata(katakan keris) yang sedikit berlainan antara satu pasang dengan pasangan yang lain. Pelajaran-pelajaran tersebut kemudian menjadi permainan pentas I, pentas II dan pentas III, sehinggalah cukup tujuh pentas kesemuanya. Permainan pisau pun begitu juga.
"Bagi partner ni, macam ni buka buka dia, macam ni main dia. Bagi partner yang ini pulak, macam ni buka dia, macam ni main dia."
"Dato' ajar, tikam, tangkis, tangkap, kunci, buka, tendang. Buat yang tu aja dulu. Tidak ada sukatan macam sekarang. O.K pasangan ni pulak. Dato' kata O.K tikam, buat anak keli, tunduk, lompat, tangkap, hentak siku di kepala, lompat dan juring dada. Latihkan itu aja. Kemudian buat buah yang kedua pulak. Masing-masing pasangan akan dapat satu pentas. Gabungkan, maka kalau ada tujuh pasangan, maka ada tujuh pentas. Kalau ada lima pasangan, maka ada lima pentas. Lepas tu tukar-tukar pelajaran."
Pelajaran yang diperolehi kemudian dipelajari oleh semua murid-murid Gayong gelanggang tersebut, secara bertukar-tukar pelajaran. Murid-murid Gayong akan berpakat sesama mereka untuk berkongsi pelajaran.
Pada waktu dahulu, tiada sukatan pelajaran yang tetap. Mahaguru menurunkan pelajaran dengan melihat kepada kebolehan anak-anak muridnya. Mahaguru akan melihat kepada susuk tubuh, kebolehan dan ketangkasan muridnya terlebih dahulu sebelum pelajaran diturunkan. Kemudian murid-muridnya akan dibahagikan kepada kumpulan mata-mata pelajaran tertentu. Misalnya, satu pasangan akan diajar pelajaran rotan pendek, satu pasangan lagi diajar rotan panjang dan pasangan yang lain pula diajar permainan lembing. Dalam satu-satu pelajaran senjata, kunci mati yang diperturunkan juga turut berbeza di antara pasangan yang diperturunkan. Perbezaan mata pelajaran ini seterusnya mewujudkan buah-buah pecahan kunci mati. Menurut Cikgu Izahar, jika ada tiga pasangan, bermakna ada tiga jenis pecahan kunci mati.
Di Malaysia, menurut Cikgu Izahar, Mahaguru aktif mengajar sekitar tahun 1960-an. Pada tahun 1970-an, anak-anak muridnya mengambil alih tugas mengajar dan mengembangkan Gayong. Antara guru-guru Gayong yang mengajar di Perak sekitar tahun 1970-an ialah Cikgu Ahmad Ismail, Cikgu Amin Hamzah, Cikgu Majid Md.Isa, Cikgu Hj.Ramli, Cikgu Majid(Kamunting) dan Cikgu Sidek(Taiping). Cikgu Izahar juga pernah mengajar anggota tentera Silat Seni Gayong pada awal tahun 1970-an dahulu. Beliau bertindak sebagai pembantu kepada Cikgu Siti Kalsom. Anggota tentera ini ujarnya diajar teknik tempur tanpa senjata dan tangkapan kunci mati. Mereka tidak diajar seni pentas.
Antara pelajaran Gayong yang pernah dipelajari oleh Cikgu Izahar ialah: kunci mati(21 buah), pecahan tapak(149 buah), kombat(60 buah), tapak hidup(49 - pentas I,II,III = kunci 1-7; pentas IV, V, VI =kunci 8-14; pentas VII = kunci 15-21), simbat(14 pergerakan, 7 pentas), simbat suk(7 pentas), rotan panjang(14 kunci mati, 7 pentas), pisau(gerakan pisau, 19 kunci mati, pentas), keris(22 kunci mati, 4 pentas), parang, lembing, kalung puteri(tari dan pergerakan), gerakan rajawali(40 pergerakan, 9 pukulan), yoi(9 buah pukulan hadapi serangan bersenjata), cindai dan belian. Selain pelajaran di atas, beliau juga pernah mempelajari tekpi, kerambit, rantai, kapak dan lain-lain lagi. Menurut Cikgu Izahar lagi, pelajaran buah tangkapan kunci mati boleh digunakan untuk menghadapi serangan bersenjata, cuma perlu disesuaikan dengan situasi dan jenis senjata lawan. Menurut Cikgu Izahar lagi, sewaktu beliau mempelajari Gayong dahulu, murid Gayong hanya bersenjatakan sebilah senjata pada satu-satu masa. Tiada penggunaan lebih daripada satu jenis senjata(misalnya penggunaan dua bilah pisau atau dua bilah parang ataupun keris dan parang) secara serentak oleh seseorang pesilat. Menurut Cikgu Izahar lagi, apa yang pernah dipelajarinya ialah satu tangan memegang pisau manakala satu tangan memegang simbat suk ataupun golok dengan sarung ataupun keris dengan sarung ataupun pesilat bawa dua senjata seperti keris dan parang tetapi menggunakan senjata tersebut satu demi satu. Maknanya, selepas hilang keris, baru guna parang ataupun sebaliknya. Selepas habis mempelajari keris, murid Gayong akan menjalani upacara pengkhataman. Cikgu Izahar menjalani khatam keris di Pantai Merdeka. Sebelum upacara pengkhataman dimulakan, murid Gayong akan berpasangan dan akan diperturunkan satu pentas setiap pasangan. Masing-masing pasangan akan memahirkan permainan masing-masing. Kemudian upacara perkhataman pun berlangsung di laut. Menurut Cikgu Izahar lagi, permainan Gayong tiada yang lembut. "Cuma yoi dan belian sahaja yang nampak lembut; yang lain macam harimau nak makan manusia..."
Menurut Cikgu Izahar, sewaktu mengajar, Mahaguru menggunakan nama-nama tertentu untuk setiap pergerakan dan pukulan yang dilakukan. Nama-nama ini adalah sebagaimana yang didapati pada pelajaran Gayong pada hari ini, seperti nama-nama jenis pukulan dan buah tangkapan. Sewaktu mempelajari seni pisau, Mahaguru mengajar satu pergerakan demi satu pergerakan. Jadi, murid-murid senang untuk mempelajarinya. Misalnya, apabila Mahaguru memberi arahan "tikaman anak sungai", maka murid akan melakukan gerakan tikaman anak sungai;"tarik" - murid akan tarik tapak semula; "tangkis"- murid akan menangkis; "pasak" - murid akan buat gerakan pasak; "radak" - murid akan buat gerakan radak, dan begitulah seterusnya. Selepas itu, Mahaguru akan masuk ke dalam rumahnya untuk beristirahat. Dalam masa sejam-dua jam kemudian, murid-murid telah berlatih beratus-ratus kali gerakan yang diarahkan sebelum Mahaguru melihat kemajuan murid-muridnya.
Semasa mengajar silat, Mahaguru ada memakai uniform silat. Di uniformnya tertulis kalimah Allah-Muhammad. Sebab itu, menurut Cikgu Izahar, Mahaguru tidak mudah untuk dijatuhkan dan badannya dilangkah. Mahaguru memiliki susuk tubuh yang tegap, dan sukar untuk dijatuhkan walaupun kakinya disepak berkali-kali. Selain uniform, Mahaguru juga mempunyai bengkung dan sandangnya sendiri. Menurut Cikgu Izahar, sandang banyak dikeluarkan semasa ahli Gayong buat perarakan sempena Hari Kemerdekaan di Chow Kit. Sebelum daripada ini tidak banyak jenis sandang kerana tidak ramai murid yang benar-benar aktif mengembangkan Gayong.
Pada masa dahulu penyampaian bengkung dan ujian bengkung dijalankan di Taiping. Upacara penyampaian bengkung dijalankan dengan penuh adat-istiadat Gayong, iaitu dengan diiringi muzik nobat(melibatkan alat-alat bunyian seperti serunai, gong, gendang dsb.). Menurut Cikgu Izahar, antara pemain nobat yang masih diingatinya ialah Abu Kassim(serunai), Pak Akub Pantai Besar(gendang), Pak Lang Sotin dan Abang Yunus. Upacara penyampaian bengkung dijalankan di Balai Adat dengan dihadiri pemegang-pemegang sandang Gayong. Menurut Cikgu Izahar lagi, pada masa dahulu, guru-guru silat memakai sandang masing-masing ketika turun ke gelanggang sebelum adanya bengkung, misalnya sandang Imam Gelanggang. Untuk ujian kenaikan bengkung pula, hakim ujian terdiri daripada pemegang sandang(khalifah, pewaris dsb.) Pada satu-satu masa ujian, tidak ramai ahli yang mengambilnya. Tidak sampai 10 orang. Tetapi, untuk mengambil ujian Pelangi Merah misalnya, murid Gayong akan diuji pelajaran daripada peringkat asas(Putih) hinggalah ke peringkat tingkatannya(Merah). Ujian berlangsung sepanjang hari dan hanya selesai pada waktu petang. Hal ini bermakna, seseorang murid yang ingin menduduki ujian bengkung perlu mengingati keseluruhan mata pelajaran yang telah dipelajarinya. Pada waktu itu, selepas diuji semua pelajaran tangan kosong, senjata(pisau, keris, simbat, tongkat dan parang), barulah seseorang murid layak memegang bengkung Pelangi Kuning kosong.
Dahulu, perpaduan di kalangan murid-murid Gayong sangat erat. Jika di dalam sesebuah gelanggang itu ada 20 orang murid, maka akan kelihatanlah 20 orang murid mengikuti latihan. Murid-murid Gayong juga tidak akan meninggalkan latihan, jika tidak diarahkan. Jika ada kes yang melibatkan kematian ahli keluarga, barulah latihan dihentikan sementara sebab murid dikehendaki pergi melawat jenazah bersama-sama. Pada Cikgu Izahar, kawan-kawan segayong adalah kawan-kawan yang sama-sama rasa susah, sama-sama rasa sakit. Sama-sama tidak pernah merasa sarapan pagi sewaktu menuntut di Taiping.
Selepas Mahaguru membuka gelanggang di Pantai Besar, kira-kira tiga tahun selepas itu, Mahaguru telah kembali semula ke Johor, lalu membuka gelanggang di Johor. Gayong kemudian didaftarkan di Johor Bahru. Setelah Gayong didaftarkan, Mahaguru balik semula ke Taiping. Kemudian Sultan Kedah telah menitahkan supaya Mahaguru Meor Abdul Rahman supaya mengembangkan Gayong kepada seluruh bangsa Melayu yang beragama Islam. Pada masa inilah, menurut Cikgu Izahar, gelanggang-gelanggang Gayong tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Gayong mula diajar di sekolah-sekolah. Murid-murid Gayong dari Taiping telah dihantar untuk mengajar ke merata-rata tempat di seluruh negara. Menurut Cikgu Izahar, pada ketika itu, guru-guru Gayong mengajar dari satu gelanggang ke satu gelanggang dengan menaiki basikal. Mahaguru turut berpesan kepada semua gurulatih supaya jangan lawan jika dicaci atau dihina. Mahaguru menyuruh supaya Gayong dikembangkan dahulu dan bila Gayong telah kukuh serta ramai ahlinya, barulah segala cabaran dan cacian disahut(kata bersahut, gayong bersambut).
Peristiwa 13 Mei 1969 juga menjadi pencetus kebangkitan Gayong. Pada masa 13 Mei, ahli-ahli Gayong Perak dan Kedah telah turun ke Kuala Lumpur, iaitu di rumah Dato' Harun Idris. Lebih kurang 300 murid Gayong telah berkumpul di sana. Mereka telah dimaklumkan tentang tragedi yang bakal berlaku tiga hari sebelum peristiwa 13 Mei berlangsung. Murid-murid Gayong dipakaikan selempang merah dan diberi minum air jampi segelas yang dikongsi minum beramai-ramai. Seorang khalifah akan mengetuai 40 orang pengikut. Menurut Cikgu Izahar lagi, orang-orang Melayu mengambil tindakan yang agak terlewat. Setelah ramai orang-orang Melayu yang mati dibunuh, barulah tindakan balas diambil. Pada ketika itu, mayat-mayat banyak bergelimpangan dan terpaksa ditolak dengan bulldozer.
Pada masa dulu, upacara memperlimau ahli baru hanya dijalankan oleh Mahaguru seorang sahaja. Di mana-mana pun di seluruh negara, Mahaguru akan pergi memandikan murid baru, walaupun yang mandi itu cuma tiga orang sahaja. Bila umur telah meningkat iaitu apabila telah mencecah umur 60-an, barulah Mahaguru mewakilkan orang lain untuk menjalankan upacara mandi perlimau tapak. Menurut Cikgu Izahar, bahagian Mahaguru perlu diberikan kepada beliau walaupun orang lain yang melakukan upacara perlimau. Pesan Mahaguru:"Kalau mandi, $2.50 mesti bagi kat Mak Datin. Kalau hang makan duit tu, haram..." Walau bagaimanapun, mandi seni hanya Mahaguru sahaja yang boleh melaksanakannya ketika itu. Sewaktu upacara mandi perlimau dijalankan di Taiping dahulu, pada sebelah malamnya akan diadakan pertunjukan silat. Menurut Cikgu Izahar, walaupun seseorang itu telah menjalani upacara mandi seni, tetapi sebelum sesuatu pelajaran senjata itu diturunkan, Mahaguru akan melihat terlebih dahulu permainan tangan kosong murid-muridnya, iaitu sama ada telah benar-benar cekap atau tidak sebelum layak dibenarkan bermain senjata. Jika dirasakan muridnya itu tidak cekap lagi, Mahaguru tidak akan membenarkan pelajaran senjata diajar kepada murid berkenaan. Mahaguru biasanya akan melihat permainan dari segi elakan dan pukulan. Jika telah benar-benar kemas barulah murid berkenaan dibenarkan bermain senjata.
Bercerita tentang mandi minyak pula, menurut Cikgu Izahar, mandi minyak boleh dilakukan pada bila-bila masa dan tidak dihadkan masanya; setahun tiga kali pun boleh. Murid-murid cuma perlu datang ke Taiping, beli kelapa(3 biji untuk 5 orang, 5 biji untuk 7 orang) dan sebaik-baiknya kelapa hijau. Untuk kali pertama mandi, seelok-eloknya jangan mandi selama tiga hari. Biarkan minyak tersebut kering sendiri untuk mendapat kulit yang tahan lasak. Kali kedua mandi, hendaklah dua hari jangan mandi. Pada kali ketiga mandi minyak, sedikit minyak hendaklah dibubuh ke dalam mulut. Dahulu, menurut Cikgu Izahar, selepas upacara mandi minyak, murid Gayong dikehendaki lalu di atas bara api(bara api kawah yang telah diangkat kawahnya). Kemudian, murid akan berbaris melalui hadapan Mahaguru. Mahaguru kemudian akan menetak belakang murid-murid Gayong dengan parang (parang yang digunakan dalam latihan). Inilah antara ujian murid-murid lama ketika menjalani upacara mandi minyak.
Menyentuh tentang uniform latihan Gayong, dahulu menurut Cikgu Izahar, pakaian silat adalah tahan lama(boleh digunakan sehingga 15 tahun - misalnya baju yang bertulis kalimah Allah-Muhammad seperti yang dipakai oleh Mahaguru). Hal ini adalah kerana baju berkenaan diperbuat daripada benang kapas asli. Dahulu, seluar yang dipakai adalah ketat, jadi kerap terkoyak sewaktu latihan. Jadi, untuk mengatasi masalah ini, murid-murid Gayong telah berpakat untuk membeli seluar getah yang biasa digunakan oleh perempuan Cina ketika bertanam sayur. Baju silat dahulu, jika panjang lengan baju sampai setakat di bawah siku, tepinya akan dibuat belahan sehingga ke siku, untuk memudahkan pergerakan tangan dilakukan.
"Baju silat dulu tidaklah besar. Kecil sahaja. Tetapi tidak mudah koyak."ujar Cikgu Izahar.
Menurut Cikgu Izahar lagi, selempang empat warna yang terdapat pada baju telah ada sejak lama, iaitu ketika Cikgu Izahar menerima bengkung merah. Ketika itu beliau terlihat seorang murid Gayong daripada Singapura memakainya.
Menurut Cikgu Izahar, dahulu bengkung akan diperasap oleh Mahaguru sebelum diserahkan kepada pemiliknya. Maknanya, bengkung dahulu ada "isi"nya. Begitu juga dengan pakaian silat.
Cikgu Izahar juga berkesempatan melihat zaman anak-anak Gayong beralih arah dan membuka perguruan silat baru. Beliau masih dapat mengingati beberapa nama guru-guru silat baru yang juga merupakan bekas murid Gayong di Taiping. Cikgu Izahar juga pernah ditunjukkan oleh Mahaguru gambar beliau bersama-sama sekumpulan murid Gayong. Ada gambar yang telah dipangkahnya. Menurut Mahaguru, murid yang dipangkahnya itu dianggap telah menderhaka kepada beliau. Namun, tidak dinyatakan sebab sebenar mengapa murid berkenaan dikatakan telah menderhaka. Mungkin murid berkenaan telah keluar dari menjadi murid Gayong, lalu mengajar suatu silat baru yang menggunakan pelajaran Gayong sebagai sumber mata pelajarannya.
Cikgu Izahar, walaupun hampir mencecah usia 60 tahun, tetapi beliau memiliki susuk tubuh yang masih tegap, mungkin berkat amalan yang selalu dibuat ketika bangun daripada tidur serta beberapa pantang larang yang masih diikutinya. Beliau masih bersemangat untuk menurunkan pelajaran lama kepada generasi baru Gayong.
Seperti sepatah kata Cikgu Izahar," kalau saya tak turunkan kepada anak-anak buah, pelajaran(Gayong) akan hilang. Saya pun mungkin tak lama lagi(hidup). Umur pun dah dekat 60. Nanti kalau kita dah tercedera akibat kemalangan ke, susah untuk kita mengajar orang. Kalau tangan dan kaki dah masuk besi, usahkan kita nak pulas orang, orang nak pulas kita pun tak boleh. Nak tunjuk orang boleh, tapi tak boleh buat bagi sakit(untuk tunjuk seni). Tak boleh buat lompatan, gulingan dsb.Cuma boleh bagi arahan bagaimana nak buat kunci dsb."

Sunday 9 December 2012

Pengenalan


Sejarah dan info




Alang-alang dah ada ni nak bercerita la sikit...pangjang cerita nya ni... tapi jika dipendekkan begini ceritnya......


Berdiri dari kiri: Bro Aiman, Ajim, Sabree, Haziq, Saiful, 
Berdiri tengah: Aiesya, Rushdina
Duduk: Syikin, Yana, kawan aiman (lupa nama dia)


Demo malam pendekar di payung putih UMP Gambang

Dari kiri: Saiful, En Zaki, Haziq, Cikgu Farizal

Pada awal 2008 latihan SILAT SENI GAYONG dah bertapak di bumi UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP) ni. Mula bertapaknya bila mana En Zaki dari JHEPA/Kebudayaan mula datang disini dan telah pon berhubung dan berurusan dengan Cikgu Rahim (YDP PSSGM Pahang). Oleh kerana En. Zaki membawa permainan Pusaka Gayong (PSSPGM) maka di carinya guru dari PSSGM sendiri untuk mengajar di UMP. Dalam masa yang sama saudara Aiman dan rakan - rakan kian aktif dalam latihan. Dengan kerjasama En Zaki dan Aiman Kelab Silat Seni Gayong mula didaftarkan di bawah Kelab Kebudayaan.

Pada masa ini la penglibatan dari pensyarah dan staff aktif seperti, En Affendi (awam) dan En Razhan (kimia). Latihan diadakan di tapak Astaka lama (masa tu belum ada dinding, cuma simen je). Ahli kian ramai dan dilema kedatangan ahli biasanya ada surut dan pasanganya, kejap ramai dan kejap sikit. Batch Aiman yang masih kekal masa ni Taufik dan Hasrul Naim.


Mandi tapak yang pertama di Gambang



Kemudian pada kemasukan batch 2008/2009 semakin ramai ahli tegar yang setia bergelanggang di UMP (masa ni UMP pekan xwujud lagi). Nama - nama seperti Ihsan, Haziq, Sabree, Suhana, Ari, Anen, Ayie, Rush, Mumu,Syikin, Ipan, Ajim, Yana, Abe, Naim, Zul Macha, Azmi, Juwe, dan ramai lagi muncul memanaskan suasana gelanggang. Pada batch ni juga la lantikan jawatan kuasa baru dia lantik dan Ihsan sebagai pengerusi pertama secara lantikan (sebab kalau ikutkan Aiman pengerusi tapi tak melalui mesyuarat). Dalam Oktober 2008 Cikgu Farizal diperkrnalkan dna dibawa masuk untuk mengajar disini.


antara ahli awal dalam PSSGM UMP


Gredding 2010 kalau xsalah la ni (Cikgu Rahim Penguji......)


Cikgu Rahim YDP PSSGM PAHANG sempoi jeee....


Dari sehari kesehari.... tempat latihan berpindah ke blok W dan mesyuarat kedua di adakan di blok W dengan kehadiran En Hafizi selaku penasihat kelab. 


Dari kiri : Azmi, En Hafizi, Ihsan


Cikgu Bajan salah seorang gurulatih yang menabur jasa dan bakti di bumi UMP


 Cikgu Anuar bukan sahaja di dalam gelanggang malah beliau juga melatih dalam silat olahraga

2010/2011 Mesyuarat ke 3 yang bertempat di blok W telah menyaksikan Saudara Amir menjadi pengerusi kedua selepas Ihsan dan dalam sejarah juga nama NAGA RANTAU telah dipilih sebagai nama gelanggang PSSGM UMP

Pada 2011 Kehadiran Cikgu Shaiful Hakim telah sedikit sebanyak membantu mencorakkan lagi warna warni kehidupan di Gelanggang Naga Rantau.


Cikgu Ihsan dan Ayahanda Cikgu Hakim.

Kini sepanjang kehadiran Cikgu Shaiful Hakim, program dan aktiviti semakin rancak, ada saja program yang diatur, penuh la jadual mingguan anak anak Naga Rantau. Atikel ini dinukil khas buat guru guru yang berjasa menabur ilmu yang berharga buat kami semua anak gayong di UMP. Terima kasih sekali lagi buat Cikgu Cikgu semua kerana anda kami terus cekal memegang amanah. Buat anak anak Naga Rantau yang baru teruskan lah legasi ini dan jaga la hubungan semasa kita dan guru. Tiada guru tiada ilmu dan tiada la berkat pelajaran itu . Jika ada terkurang tersalah bahasa atau tertinggal mana mana nama tu maafkan la hamba , ada masa hamba ni pelupa....  sedikit tatapan kenangan bersama di Gelanggang Naga Rantau UMP